DUBAI/WELLINGTON: New Zealand sedang mempertimbangkan larangan membawa komputer riba dan peralatan elektronik besar lain dalam ruang kabin penerbangan, bagi pesawat dari negara Islam di Asia Barat, kata Perdana Menterinya pada Isnin.
Peraturan baharu itu merupakan langkah yang hampir sama yang dilaksanakan Amerika Syarikat, Britain dan Australia.
Pemimpin New Zealand itu mengulas kenyataan yang dibuat Menteri Pengangkutan Simon Bridges, yang memberitahu Reuters dalam temu bual pada Ahad berkenaan langkah pihak Penguatkuasa Penerbangan Awam menilai semua bahan bukti bagi menentukan tindakan yang bakal diambil.
Perdana Menteri Bill English memberitahu wartawan di Wellington, bahawa agensi penerbangan sedang menilai isu berkenaan dan akan membuat keputusan sama ada larangan itu akan dikuatkuasakan.
“Pihak keselamatan yang mencadangkannya. Jika dilaksanakan, ia mungkin akan menyulitkan penumpang tetapi akan menjamin keselamatan mereka," kata English.
Pada 25 Mac, Amerika Syarikat telah melarang penumpang membawa masuk peralatan elektronik bersaiz besar, yang membabitkan penumpang dari lapan negara Asia Barat, Afrika Utara dan Turki, termasuk Qatar dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).
Langkah itu diikuti Britain, namun bagi Qatar dan UAE, penumpang hanya perlu melalui pemeriksaan keselamatan tambahan.
Langkah keselamatan tambahan yang dikehendaki New Zealand akan membabitkan penumpang dari Dubai, UAE dan Doha, Qatar, yang melibatkan syarikat penerbangan Emirates and Qatar Airways, yang melakukan penerbangan terus ke New Zealand.
Buat masa ini, belum diketahui bila peraturan itu akan dilaksanakan.
Minggu lalu, Emirates mengeluarkan kenyataan akan membatalkan beberapa penerbangan ke Amerika Syarikat selepas sekatan tersebut kerana permintaan yang semakin menurun.
Menteri Pengangkutan New Zealand dijadualkan menemui Pengerusi Emirates, Sheikh Ahmed bin Saeed al-Maktoum minggu ini di mana isu ini akan dibincangkan.
No comments:
Post a Comment